Bagaimana untuk menyampaikan sesuatu pengajaran dengan berkesan dan bagaimana untuk menarik minat pelajar untuk terus tekun belajar?
Ada 3 elemen utama yang perlu difikirkan:
Teknik penyampaian guru.
Menarik minat pelajar.
Memudahkan pelajar faham.
Ketiga-tiga elemen ini adalah sangat berbeza dan perlu dikuasai satu persatu. Apa yang jelas, jika pelajar langsung tidak berminat mendengar seseorang guru mengajar (sedangkan mereka boleh menunjukkan minat apabila guru lain mengajar), besar kemungkinan guru ini kurang mahir dalam ketiga-tiga elemen di atas.
Sebagai contoh bagaimana seorang guru kurang mahir dalam ketiga-tiga elemen ini. Bayangkan seorang guru yang masuk ke kelas tanpa sebarang alat bantu mengajar. Dia hanya berlenggang masuk ke kelas dengan sebuah buku atau beberapa keping kertas nota. Semasa mengajar pula, tidak ada interaksi dengan pelajar. Suaranya tidak berapa jelas. Semasa mengajar, tidak ada contoh-contoh menarik atau cerita yang boleh dikongsikan bersama pelajar. Akibatnya pelajar menjadi mudah bosan dan mengantuk.
Bukan sahaja ilmu dan kemahiran yang dikuasai atau suara dan gaya seorang guru, tetapi lebih daripada itu yang perlu disediakan dan digunakan oleh guru semasa berlakunya proses pengajaran dan pembelajaran. Guru perlu juga membawa slide powerpoint bersama beberapa gambar-gambar dan video-video yang mampu menarik minat pelajar. Disamping itu guru boleh berikan soalan-soalan terbuka kepada pelajar agar mereka turut serta dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Guru juga kongsikan beberapa cerita (daripada pengalaman sendiri atau orang lain) untuk menarik minat pelajar mendengar. Ini semua terbukti boleh mengekalkan minat dan konsentrasi pelajar sepanjang pembelajaran pelajar pada masa itu.
Jika semua guru/pendidik mempunyai kepelbagaian kaedah dan cara semasa berhadapan dengan anak didik, percayalah bahawa tahap penguasaan ilmu di kalangan anak didik kita di seluruh Malaysia pasti akan meningkat.