Tanggal 12 Rabiulawal merupakan satu tarikh keramat dalam sejarah umat Islam di seluruh dunia. Kedatangan Nabi Muhammad merupakan satu rahmat terbesar dan anugerah teragung yang Allah berikan kepada alam semesta ini. Bersempena sambutan Maulidur Rasul yang diadakan saban tahun menuntut kita sama-sama menghayati dan mencontohi ketabahan serta kesungguhan baginda dan para sahabat dalam menegakkan syiar Islam sehingga terpancar kecemerlangan dan kegemilangan Islam merentasi dunia timur dan barat.
Selain itu, Nabi Muhammad juga amat dikenali sebagai seorang yang suka menghubungkan silaturrahim, menolong orang yang dalam kesusahan, membantu anak yatim dan ibu tunggal, seorang yang pemurah dan sebagainya.
Sambutan Maulidur Rasul adalah untuk mengingati tentang kelahiran dan perjuangan Rasulullah SAW. Umat Islam harus menghayati Islam dari semua aspek hidup seperti dalam bidang ekonomi, kekeluargaan dan kehakiman kerana ajaran Rasulullah SAW adalah secara menyeluruh.
Oleh yang demikian wajarlah kita merenung kembali sirah Rasulullah SAW dan mengkaji sendiri tentang manusia teragung ini dan peranannya dalam pembangunan manusia sejagat. Maulidur Rasul juga merupakan masanya bagi umat Islam untuk memperingati semula Rasulullah SAW dan seterusnya menjadikan contoh sifat dan kehidupannya kerana baginda adalah teladan terbaik.
Pada pagi ini warga Islam SMKTSOMS mengadakan Sambutan Maulidurrasul. Acara-acara yang berkaitan dengan penghayatan sambutan telah dijalankan seperti perarakan dan berselawat, membaca ayat-ayat suci al-Quran, bernasyid, dan ceramah utama sambutan.
No comments:
Post a Comment