Assalamualaikum dan salam sejahtera............Selamat datang ke Blog SMK Tan Sri Osman Mohd Sa'at............Azam Ilmu Amal............Jadikanlah hari ini lebih baik daripada semalam

Saturday, October 23, 2010

KEMENTERIAN BELUM TERIMA MAKLUMAT UMMU JAH



PONTIAN 24 Julai - Kementerian Pelajaran belum menerima maklumat mengenai dakwaan 10,000 kanak-kanak tidak bersekolah kerana menjalani kehidupan bersama ajaran 'Ummu Jah' yang dibawa oleh Hatijah Aam, 56, isteri kedua kepada bekas pemimpin Al-Arqam, Allahyarham Asaari Muhammad.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, pihaknya akan menyiasat dakwaan itu dan jika benar, tindakan akan diambil kerana kanak-kanak tersebut perlu mengikuti pendidikan pada tahap usia mereka.

Menurut beliau, pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang melahirkan kebimbangan itu sebelum tindakan susulan diambil.

"Mungkin di kalangan mereka bersekolah secara pondok tetapi sekiranya berlaku eksploitasi ke atas kanak-kanak yang menyebabkan mereka tidak dapat ke sekolah maka ia sesuatu yang serius.

"Ini termasuk menjadikan mereka penjual atau pengedar produk barangan seperti buku-buku, kitab, majalah, cenderamata dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan nama baru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tan Sri Osman Mohd. Sa'at di sini hari ini.

Sebelum ini, sekolah tersebut dikenali sebagai SMK Batu 34.

Turut hadir, Pengarah Pelajaran negeri, Sufaat Tumin dan Pegawai Pelajaran daerah, Ab. Rahim Lamin.

Semalam, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz menyatakan kebimbangan beliau terhadap nasib kira-kira 10,000 kanak-kanak tersebut hasil perkahwinan ahli-ahli keluarga Asaari dan para pengikut yang sebahagian besarnya mengamalkan poligami.

Menurut Wan Mohamad, pihaknya bimbang kerana anak-anak tersebut yang tidak bersekolah dan berada di luar arus perdana serta hidup dalam suasana cult (pendewaan).

Tambah Mohd. Puad, sekiranya mereka dieksploitasi pihak tertentu, ia penganiayaan terhadap kanak-kanak tersebut yang sepatutnya diberi peluang untuk belajar dan menimba ilmu.

"Selaras peraturan, setiap kanak-kanak di negara ini perlu diberi peluang mendapat pendidikan bermula dari peringkat prasekolah sehingga ke tahap tinggi mengikut keupayaan masing-masing," ujarnya.

Utusan Malaysia, 25 Julai 2010

No comments:

Post a Comment