Assalamualaikum dan salam sejahtera............Selamat datang ke Blog SMK Tan Sri Osman Mohd Sa'at............Azam Ilmu Amal............Jadikanlah hari ini lebih baik daripada semalam

Tuesday, September 18, 2012

11 PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN 2013 - 2025

Proses transformasi sistem pendidikan akan dilaksana dalam tempoh 13 tahun dengan Gelombang 1 (2012-2015) menumpukan kepada usaha memperbaiki sistem dengan memberi sokongan guru dan tumpuan kepada kemahiran asas; Gelombang 2 (2016-2020) pula mempercepatkan penambahbaikan sistem; dan Gelombang 3 (2021-2025) ke arah kecemerlangan menerusi operasi yang lebih fleksibel.

Pelan itu menyasarkan hasil pada lima aspek iaitu akses, kualiti, kesaksamaan, perpaduan dan kecekapan. Pelan turut menyasarkan pembangunan pelajar yang memiliki enam sifat utama untuk membolehkan mereka bersaing di peringkat global iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran diwbahasa, beretika dan beragama, serta beridentiti kebangsaan.

Pelan tersebut dibuat dalam konteks peningkatan standard pendidikan antarabangsa, aspirasi kerajaan untuk mempersiapkan kanak-kanak di Malaysia dalam menghadapi abad ke-21 serta harapan menggunung masyarakat serta ibu bapa terhadap dasar pendidikan.
Sebelas anjakan yang digariskan Kementerian Pelajaran ialah:


1. Menyediakan akses sama rata untuk pendidikan berkualiti dengan standard antarabangsa;
  • Melancarkan Kurikulum Standard sekolah Menengah (KSSM) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang disemak pada 2017.
  • Melaksanakan laluan pembelajaran pintas selain pendidikan arus perdana termasuk murid cemerlang menamatkan pengajian sekolah menengah dalam masa empat tahun berbanding lima tahun sekarang dan lima tahun bagi sekolah rendah.

2. Memastikan setiap pelajar fasih dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris;
  • Meluaskan program LINUS supaya meliputi Bahasa Inggeris.
  • Seramai 70,000 guru Bahasa Inggeris lulus Ujian Penempatan Cambridge (CPT) dalam tempoh 2 tahun.
  • Kurikulum Bahasa malaysia yang standard akan diperkenal di peringkat rendah.

3. Membangunkan rakyat Malaysia yang dipacu nilai murni;
  • Mengukuhkan Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Sivik menjelang 2017.
  • Mengkaji kemungkinan murid Islam dan bukan Islam berkongsi kelas sama apabila nilai-nilai sejagar diajar.

4. Menjadikan perguruan sebagai profesion pilihan;
  • Mengetatkan syarat kemasukan latihan perguruan dengan sasaran 30 peratus teratas kelompok pelajar cemerlang menyertai profession itu.
  • Guru berprestasi tinggi berpeluang menikmati kenaikan pangkat daripada DG41 sehingga DG54 dalam tempoh kurang 25 tahun.

5. Memastikan pemimpin sekolah berprestasi tinggi di setiap sekolah;
  • Kriteria pemilihan pengetua dan guru besar berasaskan persaingan dan mengukuhkan penggantian mulai 2013.

6. Memperkasakan Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah untuk menyelesaikan isu mengikut keperluan;
  • Kementerian akan menempatkan Jurulatih Mata Pelajaran Khusus Program Penambahbaikan Sekolah dan Pengetua Rakan Penambahbaikan Sekolah secara sepenuh masa di PPD.
  • Membenarkan fleksibiliti operasi pengagihan bajet dan pelaksanaan kurikulum.

7. Memanfaatkan teknologi komunikasi dan maklumat untuk meningkatkan kualiti pembelajaran di seluruh Malaysia;
  • Meningkatkan akses internet dan persekitaran pembelajaran maya melalui pelaksanaan 1BestariNet bagi 10,000 sekolah.

8. Menambah baik keupayaan penyampaian dan kapasiti kementerian;
  • Struktur organisasi kementerian akan disusun semula agar fungsi tidak bertindih.

9. Bekerjasama dengan ibu bapa, masyarakat dan sektor swasta;
  • Memperluaskan Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) membolehkan ibu bapa mementau prestasi anak secara dalam talian.
  • Menambah bilangan Sekolah Amanah kepada 500 buah menjelang 2025.

10. Memaksimumkan kemenjadian pelajar bagi setiap ringgit yang dibelanja;
  • Mengaitkan setiap program dengan keberhasilan murid yang hendak dicapai dan merasionalisasi program berimpak rendah setiap tahun.

11. Meningkatkan ketelusan untuk kebertanggungjawaban umum.
  • Semua pihak berkaitan akan mempunyai akses yang tetap dan telus berkenaan tahap kemajuan setiap inisiatif yang dilaksanakan.
  • Semakan komprehensif akan dilakukan pada tahun 2015, 2020 dan 2025.

Friday, September 14, 2012

PERMUAFAKATAN IBU BAPA PELAJAR PMR 2012 "PERFECT SCORE"

Pagi ini bertampat di Bilik Iltizam, diadakan majlis Permuafakatan Ibu Bapa Pelajar PMR 2012 "Perfect Score". Tujuan permuafakatan itu ialah; Meningkatkan kesedaran dan pengetahuan pelajar tentang pentingnya PMR dan implikasinya dalam hala tuju masa depan mereka, Satu strategi memotivasi pelajar agar mereka dapat menghadapi peperiksaan dengan kesedaran bahawa mereka tidak bersendirian, dan Guru dan ibu bapa perlu bekerjasama untuk melahirkan modal insan yang berguna kepada keluarga, bangsa dan negara.

Antara pengisian permuafakatan itu ialah pembentangan dan analisis peperiksaan pelajar, motivasi kecemerlangan diri, soal jawab bersama ibu bapa, ucapan Tuan Pengetua, dan bacaan ikrar oleh pelajar-pelajar.








Sunday, September 9, 2012

GURU-GURU DAN KAKITANGAN BERSAMA KELUARGA MERAYAKAN HARI RAYA AIDILFITRI

Kelab Guru dan Kakitangan SMKTSOMS telah menganjurkan Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri 1433H di Dewan Angsana pada Ahad 9 September 2012 bermula jam 8.00 pagi sehingga 12.00 tengah hari. Bersesuaian dengan Bulan Syawal yang akan berakhir beberapa hari lagi, ianya merupakan salah satu program tahunan sekolah untuk mengeratkan silaturrahim di antara guru-guru dan kakitangan sekolah dengan bersama keluarga masing-masing.  Guru-guru berlainan agama juga turut dijemput hadir.









Saturday, September 8, 2012

PROGRAM MENGECAT KELAS

Hari ini hari Sabtu namun hari ini adalah hari ganti cuti sekolah. Bersempena bulan kemerdekaan, pelajar-pelajar dan guru-guru bergotong-royong membersih, mengecat dan menceriakan kelas. Kerja-kerja itu dilakukan selepas waktu rehat. Haaaa... barulah nampak ceria sekolah kita.







Thursday, September 6, 2012

SOLAT HAJAT PERDANA

Sebentar tadi, pada awal petang 6 September 2012 bersamaan 19 Syawal 1433H bertempat di Dewan Angsana, ibubapa, guru-guru dan pelajar-pelajar tingkatan 3 dan tingkatan 5 hadir untuk bersolat hajat. Mereka hadir sejak pukul 6.30 petang. Tujuan mereka hadir bersolat hajat itu adalah untuk memohon kepada Allah SWT agar anak-anak pelajar calon PMR dan SPM berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan yang mereka duduki. Setelah berusaha gigih, hanya kepada Allah SWT kita berdoa dan berserah. Semoga anak-anak pelajar ini berjaya dalam peperiksaan dengan cemerlang.

Pengisian program:
  • Solat maghrib
  • Solat hajat
  • Bacaan surah Yaasin
  • Tahlil ringkas
  • Solat Isyak
  • Ucapan YDP PIBG
  • Ucapan Tuan Pengetua