Assalamualaikum dan salam sejahtera............Selamat datang ke Blog SMK Tan Sri Osman Mohd Sa'at............Azam Ilmu Amal............Jadikanlah hari ini lebih baik daripada semalam

Wednesday, August 31, 2011

KEMERDEKAAN DALAM SEMANGAT RAMADHAN


31 Ogos setiap tahun adalah Hari Kemerdekaan Malaysia. Oleh kerana pada tahun ini  Hari Kemerdekaan jatuh pada Hari Raya Aidilfitri maka sambutan Hari Kemerdekaan  di adakan pada 16 September 2011 iaitu Hari Malaysia. 

Kemerdekaan yang hakiki sebenarnya tercapai melalui keimanan yang jitu kepada Allah SWT. Keimanan tersebut diterjemahkan dengan pegangan akidah yang mantap yang meyakini bahawa tiada perhambaan sesama manusia.

Perhambaan hanya layak kepada Allah SWT, tuhan yang menciptakan manusia dan Maha Mengetahui apa yang terbaik bagi manusia. Bertitik tolak dari keyakinan dan keimanan inilah yang menjadi pemangkin kepada gerakan kemerdekaan negara dan akhirnya berjaya mendaulatkan kembali bangsa yang telah dijajah.

Sejarah membuktikan bahawa gerakan awal menentang penjajahan dipelopori oleh golongan agamawan yang meniupkan semangat membebaskan diri dari penjajah. Tokoh-tokoh pejuang menentang penjajah seperti Datuk Bahaman, Tok Janggut, Dol Said, Mat Kilau dan lain-lain merupakan tokoh agamawan tempatan yang berani menyatakan kebenaran dan berjuang menentang penjajahan berpaksikan ajaran Islam. Mereka berpegang kepada paksi agama yang tegas menentang penghambaan dan penjajahan sesama manusia kerana jelas menzalimi golongan yang dijajah. 

Intipati ayat kelima surah al-Fatihah difahami dengan sebaiknya oleh para pejuang kemerdekaan. Ayat tersebut menegaskan bahawa: Engkaulah sahaja (Ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan, dan bukan selain-Nya.

Pastinya Ramadan yang dilalui sepanjang proses menentang penjajahan tersebut menjadi pemangkin kepada penambahan kekuatan dan semangat mereka. Ia dijadikan bulan mempersiapkan kekuatan dengan bermunajat kepada Allah, merintih dan memohon pertolongan daripada-Nya serta menjadi medan latihan bagi menghadapi dugaan dan cabaran sepanjang menempuhi perjuangan menentang penjajahan.

Lantaran daripada kesedaran agama tersebut, gerakan menentang penjajah diatur agar keadilan yang diwajibkan oleh Islam dapat dilaksanakan serta ditegakkan. Rentetan daripada siri-siri penentangan penjajahan yang dimulakan oleh golongan agamawan ini diteruskan sehingga akhirnya negara kita berjaya memperoleh kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Kini, setelah hampir 54 tahun kita mencapai kemerdekaan, ia seolah-olah tidak dihargai lagi. Kemerdekaan yang dikecapi suatu ketika dahulu hasil pembebasan daripada penjajahan nafsu yang membelenggu diri, pembebasan diri dari semangat pentingkan diri kepada rela berkorban dan akhirnya memangkin kepada penentangan penjajahan sesama manusia, dilihat tidak wujud lagi. 

Pengorbanan, kesusahan dan penat lelah para pejuang kemerdekaan seakan tidak dihargai apabila kita gagal menyelami dan memahami perjuangan mereka. Ucapan kemerdekaan hanya meniti di bibir namun gagal dihayati hikmah dan pengajaran di sebaliknya.

Ramadan kali ini seharusnya menjadi pemangkin kepada umat Islam di Malaysia menghayati kembali semangat kemerdekaan negara dalam konteks ibadah Ramadan.

Tuesday, August 30, 2011

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Hari ini Hari Raya Aidilfitri. Kami mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada warga SMKTSOMS yang beragama Islam. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Mohon maaf zahir dan batin.

Monday, August 1, 2011

SELAMAT BERPUASA DI BULAN RAMADHAN

Hari ini bermulalah umat Islam di Malaysia berpuasa wajib di bulan Ramadhan. Kami mengucapkan selamat berpuasa kepada semua warga SMKTSOMS yang beragama Islam. Jangan ponteng puasa tau...

Hari ini juga adalah cuti umum di Johor kerana menyambut awal puasa di bulan Ramadhan. Jangan lupa baca buku sambil menunggu waktu berbuka nanti...