Assalamualaikum dan salam sejahtera............Selamat datang ke Blog SMK Tan Sri Osman Mohd Sa'at............Azam Ilmu Amal............Jadikanlah hari ini lebih baik daripada semalam

Friday, September 30, 2011

SELAMAT HARI ULANG TAHUN TUAN PENGETUA

Hari ini adalah hari ulang tahun Tuan Pengetua SMKTSOMS, Pn. Lili Maznah bt Tajul Ariffin. Satu majlis ringkas telah diadakan oleh guru-guru dan kakitangan sekolah ini untuk meraikannya. Selamat menyambut hari jadi Tuan Pengetua. Semoga berbahagia selalu.



MAJLIS IZIN ILMU CALON PMR

Minggu hadapan iaitu pada 4 September PMR akan bermula. Calon-calon PMR sekolah ini akan menduduki peperiksaan tersebut. Pada pagi ini bertempat di dewan telah diadakan Majlis Izin Ilmu khusus untuk calon-calon PMR. Semoga anda semua berjaya mengharungi peperiksaan PMR dan dapat kejayaan cemerlang. 







Thursday, September 29, 2011

HELIKOPTER ROMBONGAN YAB TAN SRI MUHYIDDIN B YASSIN, TIMBALAN PERDANA MENTERI MALAYSIA MENDARAT DI PADANG SMK TAN SRI OSMAN MOHD SAAT

Hari ini warga SMKTSOMS rasa bangga kerana kawasan padang sekolah menjadi lokasi pendaratan helikopter rombongan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin. YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah dalam rangka lawatan ke daerah Pontian.

Helikopter rombongan sebanyak 3 buah itu selamat mendarat pada pukul 2.10 petang. Tan Sri Muhyiddin Yassin disambut oleh para pemimpin daerah Pontian, Puan Pengetua, guru-guru dan murid-murid SMKTSOMS. Sebelum itu YAB TPM telah merasmikan Dataran Benut di pekan Benut, Pontian.

Selepas mendarat, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin di bawa ke Kampung Sungai Bunyi untuk menghadiri Jalinan Mesra Bersama Rakyat. Di kampung itu telah menunggu beribu rakyat yang ingin bermesra bersama beliau.

Helikopter rombongan YAB TPM berlepas  balik ke arah Johor Bahru pada pukul 4.10 petang.








Tuesday, September 20, 2011

BILIK DARJAH YANG KONDUSIF...

Bilik darjah merupakan tempat atau ruang interaksi (guru - murid dan murid - murid) berlaku melalui aktiviti-aktiviti yang dirancangkan dan berlandaskan sesuatu strategi pengajaran dan pembelajaran. Bilik darjah yang kondusif merangsang dan membantu guru dan murid untuk terus kekal bersemangat semasa berlakunya proses pengajaran dan pembelajaran.

 
Bilik darjah yang kondusif mengandungi empat ciri utama seperti berikut:
  • Hubungan yang saling hormat-menghormati di antara guru dengan pelajar-pelajarnya. 
  • Kesukarelaan pelajar-pelajar menerima aspirasi dan peraturan bilik darjah yang diaturkan oleh pihak pentadbiran sekolah. 
  • Perasaan kekitaan yang timbul di antara pelajar-pelajar dengan guru-guru sebagai sebuah keluarga yang mesra dan bahagia. 
  •  Kewujudan satu keadaan yang setiap pelajar melibatkan diri dalam kegiatan keilmuan dalam setiap kesempatan, termasuk usaha menggunakan bahasa dengan betul dan sesuai.

Bilik darjah yang kondusif akan menggalakkan pelajar bebas berinteraksi di antara pelajar dengan pelajar; pelajar dengan guru, serta bebas melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti dalam bilik darjah. Guru pula gembira bekerja dalam keadaan yang mesra dan sempurna. Selain itu ia dapat dapat membantu sekolah mencapai aspirasinya, seperti membentuk pelajar dengan sikap dedikasi, berinisiatif, rela bekerjasama, ramah dan mesra, spontan dan kreatif, serta lebih tinggi motivasinya.

Bilik darjah yang dikatakan kondusif adalah sebuah bilik darjah yang dikelolakan dengan baik, yang elok dipandang dan yang teratur susunannya. Keadaan ini akan memberi kesan cita rasa, semangat, kesejahteraan, dan bahagia kepada pelajar-pelajar yang menggunakannya untuk menjalankan aktiviti pembelajaran mereka. Iklim bilik darjah yang kondusif ini akan meningkatkan keberkesanan aktiviti pengajaran-pembelajaran.

Kesimpulannya, marilah kita sama-sama bekerjasama untuk menjadikan bilik darjah di sekolah kita  lebih kondusif bagi merangsang proses pengajaran dan pembelajaran. Cubalah dulu baru tahu...

Thursday, September 15, 2011

SOLAT HAJAT PERDANA

Pada hari ini, 15 September 2011 telah diadakan Solat Hajat Perdana bertempat di Dewan Amanah bermula pukul 6.30 petang. Tujuannya untuk memohon kepada Allah SWT bagi kecemerlangan pencapaian murid-murid dalam peperiksaan PMR dan SPM. Semoga Allah SWT memperkenan permohonan kami. Bagi calon-calon PMR dan SPM teruskan usaha anda.

Kami warga SMKTSOMS tetap mendoakan kejayaan anda.

Sunday, September 11, 2011

JAMUAN AIDILFITRI STAFF SMKTSOMS

Pada pagi Sabtu 10 September 2011 bermula 8.30 pagi di Dewan Amanah telah berlangsung majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri keluarga SMKTSOMS. Ramailah guru-guru dan kakitangan serta pekerja swasta bersama keluarga masing-masing datang beraya pada pagi itu. Suasana bertambah ceria apabila para hadirin datang dengan berpakaian raya berwarna-warni.

Juadah pada jamuan tersebut dikendalikan oleh guru-guru sendiri mengikut bidang masing.

Dalam majlis itu juga diadakan majlis perpisahan khusus kepada En. Abd Rahman Bin Ithnin yang naik pangkat dan berpindah ke SJKC Yu Ming, En. Mohd Zaiham Bin Mustaffa yang berpindah ke Batu Pahat, dan En. Mohamad Nazim Bin Ismail yang berpindah kerja ke PPD Pontian.

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin. 

Wednesday, August 31, 2011

KEMERDEKAAN DALAM SEMANGAT RAMADHAN


31 Ogos setiap tahun adalah Hari Kemerdekaan Malaysia. Oleh kerana pada tahun ini  Hari Kemerdekaan jatuh pada Hari Raya Aidilfitri maka sambutan Hari Kemerdekaan  di adakan pada 16 September 2011 iaitu Hari Malaysia. 

Kemerdekaan yang hakiki sebenarnya tercapai melalui keimanan yang jitu kepada Allah SWT. Keimanan tersebut diterjemahkan dengan pegangan akidah yang mantap yang meyakini bahawa tiada perhambaan sesama manusia.

Perhambaan hanya layak kepada Allah SWT, tuhan yang menciptakan manusia dan Maha Mengetahui apa yang terbaik bagi manusia. Bertitik tolak dari keyakinan dan keimanan inilah yang menjadi pemangkin kepada gerakan kemerdekaan negara dan akhirnya berjaya mendaulatkan kembali bangsa yang telah dijajah.

Sejarah membuktikan bahawa gerakan awal menentang penjajahan dipelopori oleh golongan agamawan yang meniupkan semangat membebaskan diri dari penjajah. Tokoh-tokoh pejuang menentang penjajah seperti Datuk Bahaman, Tok Janggut, Dol Said, Mat Kilau dan lain-lain merupakan tokoh agamawan tempatan yang berani menyatakan kebenaran dan berjuang menentang penjajahan berpaksikan ajaran Islam. Mereka berpegang kepada paksi agama yang tegas menentang penghambaan dan penjajahan sesama manusia kerana jelas menzalimi golongan yang dijajah. 

Intipati ayat kelima surah al-Fatihah difahami dengan sebaiknya oleh para pejuang kemerdekaan. Ayat tersebut menegaskan bahawa: Engkaulah sahaja (Ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan, dan bukan selain-Nya.

Pastinya Ramadan yang dilalui sepanjang proses menentang penjajahan tersebut menjadi pemangkin kepada penambahan kekuatan dan semangat mereka. Ia dijadikan bulan mempersiapkan kekuatan dengan bermunajat kepada Allah, merintih dan memohon pertolongan daripada-Nya serta menjadi medan latihan bagi menghadapi dugaan dan cabaran sepanjang menempuhi perjuangan menentang penjajahan.

Lantaran daripada kesedaran agama tersebut, gerakan menentang penjajah diatur agar keadilan yang diwajibkan oleh Islam dapat dilaksanakan serta ditegakkan. Rentetan daripada siri-siri penentangan penjajahan yang dimulakan oleh golongan agamawan ini diteruskan sehingga akhirnya negara kita berjaya memperoleh kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Kini, setelah hampir 54 tahun kita mencapai kemerdekaan, ia seolah-olah tidak dihargai lagi. Kemerdekaan yang dikecapi suatu ketika dahulu hasil pembebasan daripada penjajahan nafsu yang membelenggu diri, pembebasan diri dari semangat pentingkan diri kepada rela berkorban dan akhirnya memangkin kepada penentangan penjajahan sesama manusia, dilihat tidak wujud lagi. 

Pengorbanan, kesusahan dan penat lelah para pejuang kemerdekaan seakan tidak dihargai apabila kita gagal menyelami dan memahami perjuangan mereka. Ucapan kemerdekaan hanya meniti di bibir namun gagal dihayati hikmah dan pengajaran di sebaliknya.

Ramadan kali ini seharusnya menjadi pemangkin kepada umat Islam di Malaysia menghayati kembali semangat kemerdekaan negara dalam konteks ibadah Ramadan.

Tuesday, August 30, 2011

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Hari ini Hari Raya Aidilfitri. Kami mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada warga SMKTSOMS yang beragama Islam. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Mohon maaf zahir dan batin.

Monday, August 1, 2011

SELAMAT BERPUASA DI BULAN RAMADHAN

Hari ini bermulalah umat Islam di Malaysia berpuasa wajib di bulan Ramadhan. Kami mengucapkan selamat berpuasa kepada semua warga SMKTSOMS yang beragama Islam. Jangan ponteng puasa tau...

Hari ini juga adalah cuti umum di Johor kerana menyambut awal puasa di bulan Ramadhan. Jangan lupa baca buku sambil menunggu waktu berbuka nanti...

Sunday, July 24, 2011

AKSI GURU-GURU KADET POLIS SMKTSOMS DALAM LATIHAN MENEMBAK SENJATA M16

Pada hari Sabtu 23 Julai (semalam), guru-guru dan ahli-ahli kadet polis sekolah ini telah mengikuti latihan menembak senjata M16. Latihan tersebut diadakan di Lapang Sasar IPK Melaka, Ayer Keroh, Melaka.

Guru-guru dan ahli-ahli kadet polis pergi ke sana menaiki bas bersama-sama dengan ahli-ahli kadet polis daripada sekolah lain. Latihan yang bermula pada pukul 10.00 pagi berakhir pada sebelah petang.

Kami rasa bangga apabila Cikgu Musyrifah Bt Sahari menduduki tempat ketiga dalam pertandingan menembak kategori guru dengan mendapat 74 mata. Tahniah!


Cikgu Musyrifah sedang menunggu giliran menembak.

Cikgu Sharina sedang mengira markah menembak.

Cikgu Musyrifah dan Cikgu Sharina bersedia menembak.

Cikgu Musyrifah dan Cikgu Sharina menembak ke sasaran.

Cikgu Musyrifah dan Cikgu Sharina diperhatikan oleh jurulatih.

Cikgu Romainno serius dengan M16nya.

Cikgu Khusaini menutup telinga apabila Cikgu Romainno melepaskan tembakan.