Assalamualaikum dan salam sejahtera............Selamat datang ke Blog SMK Tan Sri Osman Mohd Sa'at............Azam Ilmu Amal............Jadikanlah hari ini lebih baik daripada semalam

Wednesday, August 31, 2011

KEMERDEKAAN DALAM SEMANGAT RAMADHAN


31 Ogos setiap tahun adalah Hari Kemerdekaan Malaysia. Oleh kerana pada tahun ini  Hari Kemerdekaan jatuh pada Hari Raya Aidilfitri maka sambutan Hari Kemerdekaan  di adakan pada 16 September 2011 iaitu Hari Malaysia. 

Kemerdekaan yang hakiki sebenarnya tercapai melalui keimanan yang jitu kepada Allah SWT. Keimanan tersebut diterjemahkan dengan pegangan akidah yang mantap yang meyakini bahawa tiada perhambaan sesama manusia.

Perhambaan hanya layak kepada Allah SWT, tuhan yang menciptakan manusia dan Maha Mengetahui apa yang terbaik bagi manusia. Bertitik tolak dari keyakinan dan keimanan inilah yang menjadi pemangkin kepada gerakan kemerdekaan negara dan akhirnya berjaya mendaulatkan kembali bangsa yang telah dijajah.

Sejarah membuktikan bahawa gerakan awal menentang penjajahan dipelopori oleh golongan agamawan yang meniupkan semangat membebaskan diri dari penjajah. Tokoh-tokoh pejuang menentang penjajah seperti Datuk Bahaman, Tok Janggut, Dol Said, Mat Kilau dan lain-lain merupakan tokoh agamawan tempatan yang berani menyatakan kebenaran dan berjuang menentang penjajahan berpaksikan ajaran Islam. Mereka berpegang kepada paksi agama yang tegas menentang penghambaan dan penjajahan sesama manusia kerana jelas menzalimi golongan yang dijajah. 

Intipati ayat kelima surah al-Fatihah difahami dengan sebaiknya oleh para pejuang kemerdekaan. Ayat tersebut menegaskan bahawa: Engkaulah sahaja (Ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan, dan bukan selain-Nya.

Pastinya Ramadan yang dilalui sepanjang proses menentang penjajahan tersebut menjadi pemangkin kepada penambahan kekuatan dan semangat mereka. Ia dijadikan bulan mempersiapkan kekuatan dengan bermunajat kepada Allah, merintih dan memohon pertolongan daripada-Nya serta menjadi medan latihan bagi menghadapi dugaan dan cabaran sepanjang menempuhi perjuangan menentang penjajahan.

Lantaran daripada kesedaran agama tersebut, gerakan menentang penjajah diatur agar keadilan yang diwajibkan oleh Islam dapat dilaksanakan serta ditegakkan. Rentetan daripada siri-siri penentangan penjajahan yang dimulakan oleh golongan agamawan ini diteruskan sehingga akhirnya negara kita berjaya memperoleh kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Kini, setelah hampir 54 tahun kita mencapai kemerdekaan, ia seolah-olah tidak dihargai lagi. Kemerdekaan yang dikecapi suatu ketika dahulu hasil pembebasan daripada penjajahan nafsu yang membelenggu diri, pembebasan diri dari semangat pentingkan diri kepada rela berkorban dan akhirnya memangkin kepada penentangan penjajahan sesama manusia, dilihat tidak wujud lagi. 

Pengorbanan, kesusahan dan penat lelah para pejuang kemerdekaan seakan tidak dihargai apabila kita gagal menyelami dan memahami perjuangan mereka. Ucapan kemerdekaan hanya meniti di bibir namun gagal dihayati hikmah dan pengajaran di sebaliknya.

Ramadan kali ini seharusnya menjadi pemangkin kepada umat Islam di Malaysia menghayati kembali semangat kemerdekaan negara dalam konteks ibadah Ramadan.

Tuesday, August 30, 2011

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Hari ini Hari Raya Aidilfitri. Kami mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada warga SMKTSOMS yang beragama Islam. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Mohon maaf zahir dan batin.

Monday, August 1, 2011

SELAMAT BERPUASA DI BULAN RAMADHAN

Hari ini bermulalah umat Islam di Malaysia berpuasa wajib di bulan Ramadhan. Kami mengucapkan selamat berpuasa kepada semua warga SMKTSOMS yang beragama Islam. Jangan ponteng puasa tau...

Hari ini juga adalah cuti umum di Johor kerana menyambut awal puasa di bulan Ramadhan. Jangan lupa baca buku sambil menunggu waktu berbuka nanti...

Sunday, July 24, 2011

AKSI GURU-GURU KADET POLIS SMKTSOMS DALAM LATIHAN MENEMBAK SENJATA M16

Pada hari Sabtu 23 Julai (semalam), guru-guru dan ahli-ahli kadet polis sekolah ini telah mengikuti latihan menembak senjata M16. Latihan tersebut diadakan di Lapang Sasar IPK Melaka, Ayer Keroh, Melaka.

Guru-guru dan ahli-ahli kadet polis pergi ke sana menaiki bas bersama-sama dengan ahli-ahli kadet polis daripada sekolah lain. Latihan yang bermula pada pukul 10.00 pagi berakhir pada sebelah petang.

Kami rasa bangga apabila Cikgu Musyrifah Bt Sahari menduduki tempat ketiga dalam pertandingan menembak kategori guru dengan mendapat 74 mata. Tahniah!


Cikgu Musyrifah sedang menunggu giliran menembak.

Cikgu Sharina sedang mengira markah menembak.

Cikgu Musyrifah dan Cikgu Sharina bersedia menembak.

Cikgu Musyrifah dan Cikgu Sharina menembak ke sasaran.

Cikgu Musyrifah dan Cikgu Sharina diperhatikan oleh jurulatih.

Cikgu Romainno serius dengan M16nya.

Cikgu Khusaini menutup telinga apabila Cikgu Romainno melepaskan tembakan.


Thursday, July 21, 2011

GURU PERLU BANTU KERAJAAN MENJADIKAN MALAYSIA NEGARA MAJU MELALUI PENYAMPAIAN PENDIDIKAN BERKUALITI

Matlamat menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020 amat bergantung kepada keupayaan warga pendidik menyedia dan menyampaikan pendidikan berkualiti, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pembentukan insan secara holistik hanya dapat dicapai melalui pembangunan daya inovasi dan kreativiti pelajar semasa proses pembelajaran dan pengajaran yang akan menghasilkan modal insan berilmu, kreatif, inovatif, berketrampilan serta berupaya memacu ekonomi berteraskan pengetahuan dan mencipta kekayaan baru bagi negara. Sehubungan itu, katanya, guru perlu melaksanakan tugas dengan bersungguh-sungguh, jujur dan ikhlas dalam mendidik anak bangsa supaya menjadi insan sempurna peribadi.

“Tanpa sokongan guru, saya yakin hasrat kerajaan untuk melahirkan modal insan yang holistik tidak akan tercapai,” katanya pada Perhimpunan Kebangsaan Guru 1Malaysia di Stadium Putra, Bukit Jalil pada 16 Oktober 2010, yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Ia bertemakan ‘Guru Pemangkin 1Malaysia’.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, guru sebagai ejen pelaksana dan ejen perubahan perlu memainkan peranan pada semua peringkat demi mencapai dan merealisasikan hasrat kerajaan untuk membina negara bangsa sesuai dengan semangat 1Malaysia.

Katanya, kerajaan sedar setiap usaha yang hendak dilaksanakan menghadapi cabaran dan halangan, dengan cabaran utama dihadapi pendidik ialah untuk melahirkan warga negara berdaya tahan, dinamik, progresif, berilmu pengetahuan, kreatif, inovatif dan berdaya saing pada peringkat global selain meningkatkan nilai akhlak mulia dan penyayang.

Oleh itu, kata beliau, sewajarnya ‘penilaian kritikal’ terhadap proses pendidikan yang sedang berjalan dilaksanakan supaya sebarang penyesuaian selaras dengan keutamaan serta keperluan masyarakat dan global yang sentiasa berubah.

“Justeru, guru perlu mempunyai nilai kepemimpinan yang tinggi, kekuatan minda yang profesional, ketangkasan daya fikir dan daya cipta serta kemantapan idealisme yang harus dibangunkan untuk melahirkan persekitaran pendidikan yang cemerlang berlandaskan kepada nilai dan etos ‘learning society’,” katanya.

Tuesday, June 21, 2011

BAGAMANA NAK JADI PELAJAR YANG CEMERLANG?

Ikutlah saranan di bawah ini jika nak jadi pelajar yang cemerlang. Insyaallah berjaya. Berusaha dan bertawakkallah.

1.Optimistik
Pelajar yang cemerlang sentiasa yakin pada potensi diri sendiri untuk boleh menempah kejayaan dalam pendidikan. Keyakinan ini akan memberi suntikan semangat dalaman pada diri anda sendiri. Katakan 'aku BOLEH!'

2.Jangan bersikap pesimistik
Pelajar cemerlang tidak bersikap pesimistik iaitu sentiasa putus harapan dan mengalah sebelum mula berjuang. Jangan lemahkan semangat anda sendiri. Jangan meramalkan kekalahan sebelum mula berperang. Kalau anda tidak mencuba maka kekalahan sebenarnya sudah pasti dalam tangan. Belum cuba belum tahu.

3.Kesedaran memikul tanggungjawab
Pelajar yang cemerlang mempunyai kesedaran dan kesediaan untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang pelajar yang menjadi harapan agama, bangsa, negara, keluarga dan masyarakat pada masa akan datang. Maruah keluarga, masyarakat dan negara pada masa akan datang bergantung pada generasi remaja masa kini. Pelajar yang cemerlang ialah pelajar yang sedar hakikat ini. Pelajar yang menyedari hakikat ini sudah pasti akan berusaha lebih gigih agar matlamat tersebut tercapai.

4.Tumpuan sepenuh hati
Pelajar yang cemerlang memerikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran semasa mengikuti pengajaran guru di kelas. Sikap main-main sambil belajar adalah sikap pelajar yang kurang berjaya. Pelajar yang suka bermain-main dalam kelas semasa guru mengajar adalah pelajar yang bakal menjadi orang yang dipermainkan oleh golongan 'terpelajar' pada suatu masa kelak. Malah lebih malang kalau suatu hari nanti mereka dipermainkan oleh golongan tidak terpelajar seperti mereka sendiri.

5.Mulakan dari awal
Pelajar yang cemerlang membuat persediaan awal apabila akan menghadapi peperiksaan tidak kira sama ada ujian bulanan, peperiksaan penggal atau peperiksaan yang sebenarnya. Persediaan awal akan membezakan pelajar yang berjaya dengan yang gagal. Persediaan awal ini termasuklah mengadakan ulangkaji, berbincang dengan rakan-rakan, meminta nasihat guru, meneliti buku-buku model jawapan dan sebagainya lagi. Jangan jadi 'bidan terjun' ke dewan peperiksaan.

6.Sentiasa bersedia  
Pelajar yang cemerlang sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang bentuk ujian atau peperiksaan yang bakal diadakan oleh pihak sekolah (ujian bulanan, peperiksaan penggal) atau oleh pihak kementerian (peperiksaan yang sebenarnya). Pelajar yang berjaya ialah pelajar yang sanggup dan mampu menghadapi peperiksaan bila-bila masa sahaja. Bersediakah anda andainya peperiksaan diadakan esok? Pelajar cemerlang akan berkata 'Ya!' Kalau anda peminat 'The Rock' anda akan berkata 'Just bring it on..!'

7.Lengkapkan peralatan
Pelajar yang cemerlang menyediakan keperluan peralatan belajar yang mencukupi seperti buku-buku rujukan, buku latihan, alat-alat tulis, nota-nota ringkas, dan sebagainya lagi. Semangat sahaja tidak mencukupi untuk mencapai kejayaan. Kelengkapan yang tidak cukup akan menyusahkan pembelajaran dan mungkin memanaskan hati anda atau melemahkan semangat untuk terus belajar. Cuba bayangkan, anda ingin basuh tangan selepas makan tetapi tiada air. Tidakkah anda rasa 'bengang'?

8.Tepati waktu belajar
Pelajar yang cemerlang menepati waktu belajar yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah seperti datang ke sekolah dalam waktu yang ditetapkan dan pulang hanya setelah dibenarkan. Ini akan melatih pelajar menjadi seorang yang berdisiplin. Apabila sikap disiplin telah tersemai dalam jiwa pelajar, maka mudahlah bagi pelajar untuk mendisiplinkan diri dalam pembelajaran.

9.Dapatkan bantuan guru  
Pelajar yang cemerlang mendapatkan bantuan guru atau kawan-kawan sekelas yang lain apabila gagal mengikuti kelas di atas sebab-sebab tertentu. Misalnya apabila pelajar sakit dan tidak dapat hadir ke kelas, pelajar perlulah mendapatkan bantuan kawan-kawan untuk mendapatkan nota-nota pelajaran, atau mendapatkan penerangan guru bagi pelajaran yang telah tertinggal itu.

10.Hormati guru  
Pelajar yang cemerlang sentiasa menghormati guru sama ada semasa guru sedang mengajar di dalam kelas atau sewaktu berada di luar kelas. Guru adalah sumber ilmu. Oleh itu sentiasalah menghormati guru yang memberikan kita ilmu.

11.Bersoal jawab dengan guru  
Pelajar yang cemerlang bersoal-jawab dengan guru untuk memahami pelajaran yang telah diajar. Malah ahli falsafah Yunani yang terkenal bernama Socrates pernah berkata 'carilah ilmu pengetahuan dengan cara bersoal- jawab'.

12.Beri pandangan membina  
Pelajar yang cemerlang sering memberi pandangan dan pendapat dalam proses pembelajaran. Ini kerana dengan cara memberikan pandangan, rakan-rakan pelajar dan pelajar sendiri akan semakin memahami pelajaran tersebut. Amalan ini juga dapat melatih dan mengasah daya ketajaman pemikiran pelajar.

13.Berbncang dengan rakan
Pelajar yang cemerlang sering berbincang dengan rakan-rakan tentang pelajaran yang telah dipelajari. Ini biasanya dilakukan dalam kelas-kelas perbincangan, kelas tambahan atau dalam kumpulan studi. Perbincangan akan memantapkan lagi kefahaman terhadap sesuatu pelajaran.

14.Siapkan tugasan yang diberi
Pelajar yang cemerlang menyiapkan tugasan yang telah diberi oleh guru sama ada kerja dalam kelas atau kerja rumah, dalam tempoh yang ditetapkan oleh guru berkenaan. Pelajar yang berjaya adalah pelajar yang sering menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru mereka.

15.Tubuhkan kumpulan studi
Pelajar yang cemerlang mengadakan kumpulan perbincangan (study group) bersama rakan-rakan yang mempunyai visi dan agenda yang sama iaitu kejayaan dalam peperiksaan. Tapi jangan tubuhkan kumpulan studi yang akhirnya menjadi kumpulan bersembang! Carilah rakan-rakan yang ragin dan gigih. Tinggalkan rakan-rakan yang hanya suka temberang.

16.Sering masuk perpustakaan
Pelajar yang cemerlang menjadikan perpustakaan sekolah dan perpustakaan yang lain sebagai gedung ilmu pengetahuan untuk dikunjungi dan mendapatkan buku-buku untuk dipinjam. Perpustakaan adalah gedung ilmu. Perpustakaan juga adalah tempat yang sangat sesuai untuk anda mentelaah  pelajaran.

17.Baca akhbar
Pelajar yang cemerlang membaca akhbar atau majalah-majalah akademik untuk mendapatkan ilmu pengetahuan tambahan. Secara khususnya ini merujuk kepada isu-isu am dan rencana ilmiah dan bukan ruangan gossip atau artis.

18.Menonton rangcangan yang sesuai
Pelajar yang cemerlang menonton rancangan televisyen yang sesuai untuk mendapatkan pengetahuan seperti Rancangan Pendidikan, Berita dan lain-lain lagi. Antara lain adalah rencana pengetahuan (seperti 'Discovery') dan berita semasa.

19.Lakukan peperiksaan kendiri
Pelajar yang cemerlang mengadakan ujian dan peperiksaan kendiri (sendiri) seperti dibuat dalam peperiksaan sebenarnya, untuk dijadikan sebagai pengukuhan pembelajaran. Pelajar juga perlu menganggapkan ujian dan peperiksaan yang diambil itu adalah ujian dan peperiksaan yang sebenarnya. Jika gagal bererti anda gagal dalam peperiksaan yang sebenar. Melakukan peperiksaan kendiri samalah seperti masuk ke klinik. Anda akan diberi tahu tentang 'penyakit' anda (kelemahan-kelemahan anda). Selepas itu, pandai-
pandailah cari ubatnya.

20.Sediakan jadual waktu  
Pelajar yang cemerlang menyediakan jadual waktu untuk merancang pembelajaran pelajar di luar sekolah. Minta nasihat guru atau abang-abang yang berpengalaman untuk mendapatkan corak jadual yang sesuai dan efektif. Jadual ini mestilah dipatuhi.

21.Sertai ceramah motivasi
Pelajar yang cemerlang mengikuti ceramah-ceramah motivasi yang diadakan untuk melahirkan semangat dan keyakinan diri.

22.Sertai seminar peperiksaan  
Pelajar yang cemerlang mengikuti seminar-seminar peperiksaan yang diadakan bagi memahami teknik-teknik menjawab soalan peperiksaan. Sertainya seminar-seminar yang dikendalikan oleh orang yang pakar dalam bidang masing-masing. Selain daripada pengalaman, anda juga mungkin menerima pelbagai tips dan petua berguna.

23.Beli buku rujukan
Pelajar yang cemerlang membeli buku-buku rujukan yang sesuai. Ini dapat memantapkan persediaan pelajar. Minta bantuan guru untuk mendapatkan senarai buku-buku rujukan pilihan untuk subjek-subjek tertentu. Ingat pepatah Inggeris, "Don't judge the book by its cover." Buku yang kelihatan cantik menawan tidak semestinya baik. Hanya guru yang lebih memahami kualiti sesuatu buku rujukan.

24.Masuk kelas tuisyen
Pelajar yang cemerlang mengikuti kelas-kelas tuisyen untuk menambahkan lagi pengalaman dan kecekapan pelajar dalam pelajaran.

25.Lawatan ke pameran buku
Pelajar yang cemerlang mengadakan lawatan ke pameran-pameran buku yang diadakan. Kalaupun anda tidak membeli, sekurang-kurangnya jiwa anda akan hampir pada buku dan ilmu. Jika anda selalu menziarah sumber ilmu, ilmu itu pula akan sering menziarahi anda. Kalau anda masuk ke kedai minyak wangi, keharumannya akan terlekat juga. Kalau anda masuk ke kandang najis... (fikirlah sendiri)

26.Sertai kokurikulum sekolah
Pelajar yang cemerlang menyertai pelbagai aktiviti sekolah secara aktif dalam kokurikulum. Badan yang cergas akan menghasilkan otak yang sihat. Otak yang sihat pula akan melahirkan pemikiran yang lancar. Otak yang berkarat akan melahirkan pemikiran yang lembab.

27.Sanggup manghadapi cabaran
Pelajar yang cemerlang perlu sanggup menghadapi cabaran luaran yang hebat yang sering cuba mengganggu penumpuan pelajar pada pelajaran atau cuba mengurangkan minat pelajar untuk belajar. Antara cabaran luaran yang dimaksudkan itu adalah hiburan, aktiviti sukan yang berlebihan, amalan suka melepak dan membuang masa dan gangguan kawan-kawan yang suka mengajak pelajar melakukan perkara-perkara yang kurang berfaedah. Rayuan kekasih atau buah hati juga kadangkala merupakan dugaan yang maha hebat. Pandai-pandailah membawa diri.

28.Jaga keselamatan diri
Pelajar yang cemerlang menjaga keselamatan diri dengan mengelakkan sebarang bentuk bahaya yang dapat mengancam tubuh fizikal pelajar. Misalnya, jangan bermain dengan api, elektrik atau mercun. Bayangkanlah jika pelajar kehilangan jari tangan kanan dalam kemalangan.

29.Jaga kesihatan fizikal
Pelajar yang cemerlang menjaga kesihatan tubuh badan dengan cara menghindari sebarang bentuk penyakit. Makan makanan yang berzat. Kurangkan makanan ringan atau 'junk-food'. Hindari makan di gerai-gerai yang kotor atau membeli kueh-kueh yang terdedah tanpa ditutup. Jangan berjaga sepanjang malam. Ini boleh menjejaskan kesihatan.

30.Makanan seimbang
Pelajar yang cemerlang menjaga dan mengawal pemakanan dengan memakan makanan yang seimbang. Ini akan menjamin kesihatan badan yang baik dan otak yang dapat berfikir dengan lebih lancar. Pilih jenis makanan yang sesuai untuk minda dan kesihatan tubuh badan.

31.Malu bertanya sesat jalan
Pelajar yang cemerlang tidak segan untuk menimba pengalaman daripada pelajar-pelajar yang telah berjaya dalam peperiksaan. Jadikan abang-abang dan kakak-kakak yang telah berjaya itu sebagai model atau contoh pelajar cemerlang. Perhatikan ciri dedikasi dan disiplin mereka dalam menghadapi peperiksaan. Pengalaman mereka yang telah berjaya itu sungguh berharga untuk pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan.

32.Sembahyang
Pelajar yang cemerlang menjaga sembahyangnya. Bagi pelajar Islam, tunaikan sembahyang lima waktu seperti mana yang telah disyariatkan oleh agama. Bagi pelajar bukan Islam yang lain, lakukan amalan ibadat agama masing-masing.

33.Doa
Pelajar yang cemerlang sentiasa berdoa dan mengharapkan pertolongan daripada Tuhan. Aspek kerohanian ini juga sama penting dengan aspek jasmani dan minda pelajar.

34.Tawakkal
Pelajar yang cemerlang berserah diri kepada Tuhan dan tidak putus asa jika gagal. Apabila menghadapi kegagalan, berusahalah lagi dengan menjadikan kegagalan itu sebagai iktibar dan panduan untuk lebih berjaya. Jadikan semua bentuk kegagalan sebagai pengukuh diri untuk mencari kejayaan yang lebih cemerlang.

Thursday, June 16, 2011

KESUNGGUHAN BELAJAR

"Belajarlah bersungguh-sungguh". Itulah ungkapan yang selalu murid-murid dengar daripada mulut ibu bapa, guru-guru dan orang lain yang menginginkan anda berjaya.

Beginilah caranya...
  1. Elakkan diri dari faktor-faktor yang boleh membosankan ketika membaca.
  2. Jangan sesekali membebankan diri dengan kerja-kerja sekolah yang terlampau banyak pada masa tertentu dan berehat panjang selepasnya.
  3. Kesungguhan belajar mestilah berterusan dari segi semangat belajar dan usaha dari awal hinggalah ke masa peperiksaan.
  4. Sentiasa meningkatkan semangat belajar dari masa ke semasa.
  5. Semakin hampir dengan tarikh peperiksaan semakin bersungguh-sungguh untuk belajar dan semakin berkeyakinan dalam menghadapi peperiksaan.
  6. Kesungguhan belajar mungkin boleh dibina melalui kerja-kerja secara berkumpulan. Yang pentingnya carilah teman/rakan belajar yang boleh anda manfaatkan pengetahuan dan kefahaman anda kepadanya dan sebaliknya.
  7. Yakinlah dengan kebolehan yang ada pada diri anda dan kesungguhan anda untuk belajar dan yakinlah dengan pertolongan Allah S.W.T.

Friday, May 27, 2011

BERCUTI TAPI MASIH BERSEKOLAH

Esok cuti sekolah selama dua minggu akan bermula. Selamat bercuti. Jangan pula lupa menyiapkan kerja rumah yang dibekalkan oleh guru-guru. Kepada murid-murid tingkatan 3 dan tingkatan 5 dipersilakan hadir ke kelas tambahan pada minggu pertama cuti. Jaga keselamatan diri semasa bercuti nanti.

Monday, May 16, 2011

SELAMAT HARI GURU

Hari ini adalah HARI GURU. Setiap tahun kita akan mengingati tarikh 16 Mei ini. Tarikh yang dinantikan oleh guru-guru dan murid-murid yang sayangkan guru-guru. Pengorbanan guru seharusnya kita kenang. Jasa guru amat besar ertinya kepada kita. Pada tahun ini tema yang dipilih untuk merayakan sambutan hari guru ialah Guru Penjana Transformasi Negara. Sama-samalah kita ucapkan SELAMAT HARI GURU  kepada cikgu-cikgu kita. Selamat Hari Guru. Terima Kasih cikgu.

Friday, April 29, 2011

PERTANDINGAN KAWAD KAKI KRS, GO DAN NGO DAERAH PONTIAN

Selama dua hari iaitu hari Rabu dan Khamis (27 hingga 28 April) kawasan perhimpunan sekolah dijadikan tempat pertandingan kawad kaki KRS, badan kerajaan dan badan bukan kerajaan. Hari Rabu dikhususkan untuk pertandingan kawad kaki KRS lelaki dan perempuan manakala hari Khamis untuk pertandingan kawad kaki GO dan NGO.

En. Abd Rahim B Lamin, PPD Pontian hadir pada hari terakhir (Rabu) untuk menyampaikan hadiah-hadiah bagi pemenang.

Pihak sekolah mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan pertandingan tersebut.

Pasukan Kadet Bomba.

Sebahagian pasukan beruniform yang menyertai pertandingan.

Pemeriksaan pakaian oleh hakim-hakim pertandingan.

Pengetua SMKTSOMS, Pn. Lili Maznah Bt Tajul Ariffin mengiringi
PPD Pontian En. Abd Rahim B Lamin untuk menyampaikan hadiah
kepada pemenang.