Assalamualaikum dan salam sejahtera............Selamat datang ke Blog SMK Tan Sri Osman Mohd Sa'at............Azam Ilmu Amal............Jadikanlah hari ini lebih baik daripada semalam

Monday, January 2, 2012

SELAMAT DATANG WARGA BARU SMKTSOMS

Murid-murid tingkatan 1 dan tingkatan peralihan telah mendaftar sebagai warga SMKTSOMS pada hari ini. Mereka yang diiringi oleh ibu atau bapa masing-masing  membuat pendaftaran di kantin sekolah. Semua urusan pendaftaran dijalankan di kantin dari 8.30 pagi hingga 12.30 tengahari. Tugas-tugas pendaftaran telah dilaksanakan oleh guru-guru tingkatan. Kami mengucapkan selamat datang ke SMKTSOMS kepada adik-adik kami. 







Friday, November 18, 2011

CUTI SEKOLAH

Hari ini adalah hari terakhir persekolahan bagi tahun 2011. Esok bermulalah cuti panjang. Kami harap murid-murid dapat merancang aktiviti yang bermanfaat di sepanjang musim cuti ini. Sedarlah bahawa musim cuti bukan dihabiskan untuk berehat semata-mata, bermain, tidur dan menonton televisyen sepuas-puasnya, sebaliknya musim cuti adalah masa untuk memperkayakan ilmu pengetahuan. Mengulangkaji pelajaran boleh dibuat sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan pada tahun hadapan.

Ibu bapa perlu membimbing anak-anak untuk memilih budaya hidup yang sihat. Masa lapang yang agak panjang pada musim cuti sekolah hendaklah diaturkan dengan program dan aktiviti yang mampu memantapkan fizikal anak-anak seperti penyertaan dalam ekspidisi mendaki bukit, berbasikal, penyertaan dalam sukan anjuran masjid, waja diri, berkebun dan lain-lain. Rancang aktiviti dan buatlah yang terbaik untuk anak-anak kita.

Kami mengucapkan selamat bercuti kepada murid-murid dan guru-guru sekolah ini. Selamat bercuti.

Thursday, November 17, 2011

BANTUAN PERSEKOLAHAN RM100.00





Hari ini ramai ibubapa bersama anak-anak mereka datang ke sekolah untuk menerima bantuan persekolahan sebanyak RM100.00 daripada kerajaan. Diharap bantuan ini dapat digunakan dengan sebaik-baiknya untuk persekolahan anak-anak pada tahun hadapan.

Monday, November 14, 2011

PEPERIKSAAN SPM BERMULA HARI INI

Peperiksaan SPM bermula hari ini. Kepada calon-calon SPM sekolah ini, buatlah yang terbaik. Semoga anda semua berjaya dengan cemerlang.

Saturday, November 12, 2011

JAMUAN AKHIR TAHUN GURU-GURU DAN KAKITANGAN SMKTSOMS

Hari ini guru-guru dan kakitangan SMKTSOMS menjamu selera di Majlis Jamuan Akhir Tahun. Mereka beramai-ramai menuju ke Tanjung Piai Resort, Kukup, Pontian di mana lokasi jamuan itu diadakan. Majlis yang bermula pada pukul 9.00 pagi berakhir pada pukul 1.00 tengahari.

Jamuan tersebut dianjurkan dan dikelolakan oleh Kelab Guru dan Kakitangan sekolah. Selain daripada Tuan Pengetua, guru-guru dan kakitangan sekolah, jamuan turut dihadiri oleh beberapa orang AJK PIBG. Tuan Pengetua turut menyampaikan sijil-sijil  penghargaan kepada guru-guru. Diantara sijil-sijil yang diterima oleh guru-guru ialah sijil kedatangan awal ke sekolah, sijil buku rekod kemas dan lengkap, sijil buku kedatangan murid kemas dan lengkap, sijil kecemerlangan akademik PMR dan SPM, sijil kegiatan kokurikulum, dan lain-lain.

Dalam majlis itu, diadakan juga acara tukar-tukar hadiah dan cabutan bertuah. Tahun ini semua guru dan kakitangan yang hadir mendapat hadiah daripada cabutan bertuah kerana banyak pihak yang sudi menyumbang hadiah bagi acara tersebut.

Majlis itu juga turut meraikan guru-guru yang berpindah. Mereka yang yang berpindah ialah Pn. Dhaleya Abdullah (Putrajaya), Pn. Fariza Lokman (Kuala Lumpur) dan Pn. Marlina Abdul Jalil (Johor Bahru). Kami mengucapkan selamat berpisah kepada ketiga-tiga guru ini. Jasamu tetap dikenang.





Wednesday, November 9, 2011

CHIPMUNK HADIR DI JAMUAN MURID PENDIDIKAN KHAS

Hari ini bertempat di astaka padang sekolah di adakan jamuan akhir tahun kelas Pendidikan Khas. Semua murid pendidikan khas diraikan oleh Chipmunk dari Marry Brown bersama-sama dengan Puan Pengetua, guru-guru kanan dan guru-guru pendidikan khas. 

Marry Brown dan maskot Chipmunk telah dijemput untuk memeriahkan majlis tersebut. Tiga orang rakan murid pendidikan khas ini akan menduduki peperiksaan SPM tahun ini. Kami mendoakan semoga mereka lulus cemerlang.

Dalam majlis itu murid-murid pendidikan khas telah menunjukkan bakat dan kebolehan mereka memainkan alat muzik angklong. Permainan angklung akan dijadikan salah satu aktiviti seni muzik bagi murid-murid ini.








Sunday, November 6, 2011

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA

Pada hari ini umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha bagi meraikan kejayaan sebilangan saudara seagama mengerjakan ibadat haji di Makkah. Kami mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha.

Bagi kita umat Islam yang tidak mengerjakan ibadat haji, lazimnya kita akan mengadakan aktiviti kunjung-mengunjung sesama kita untuk mengeratkan tali silaturrahim sesama Islam.

Selain itu, Hari Raya Aidiladha turut disambut dengan melaksanakan ibadat korban iaitu menyembelih binatang seperti unta, lembu atau kambing bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Antara hikmah ibadat korban ialah untuk menghidupkan erti pengorbanan yang dilaksanakan oleh Nabi Ibrahim AS ketika Allah SWT memerintahkan Baginda menyembelih anaknya Nabi Ismail AS. Nabi Ibrahim AS tidak teragak-agak untuk melaksanakan perintah Allah SWT tersebut, tetapi Allah SWT telah menggantikan sembelihan tersebut dengan seekor kibasy.

Keimanan dan kesabaran yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS ketika melaksanakan perintah Allah SWT ini menjadikan ibadat korban mempunyai hikmah tersendiri untuk dihayati oleh setiap orang Islam.

Selamat Hari Raya Aidiladha.

Friday, October 28, 2011

PECUTAN MOTIVASI CALON SPM

Pagi ini diadakan program Pecutan Motivasi Calon SPM. Program yang dikhususkan untuk murid-murid Tingkatan 5 bertujuan memberi semangat dan dorongan kepada mereka untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan SPM. Program ini disponsor oleh ADUN Pekan Nanas. Penceramah jemputan ialah En. Ishak Bin Ismail, Penolong Penguasa Kastam selangor.

Ingatan beliau dalam ceramahnya kepada calon-calon SPM SMKTSOMS ialah "Bercita-citalah terhadap sesuatu yang susah dicapai supaya kita ada motivasi untuk mencapainya. Jangan bercita-cita sesuatu yang mudah dicapai kerana memang ia mudah untuk mencapainya". 

Saturday, October 8, 2011

KURSUS PROFESIONALISMA GURU SIRI 7: PENGURUSAN STRESS

Pada pagi ini guru-guru SMKTSOMS mengikuti kursus profesionalisma bagi siri ke 7. Kursus yang berjalan di Makmal Bahasa bermula pada pukul 8.00 pagi. Kursus pada kali ini khusus mengenai pengurusan stress yang disampaikanoleh Dr. Mazlan Bin Aris dari IPG Kampus Temenggung Ibrahim. Sebelum itu, guru-guru telah diberi satu taklimat mengenai zakat yang disampaikan oleh pegawai dari Jabatan Aagama Islam Negeri Johor. Semoga input yang diterima amat bermanfaat untuk guru-guru.

Tuesday, October 4, 2011

SEMOGA CALON PMR SEKOLAH KITA BERJAYA

Pagi ini, calon-calon PMR sekolah kita bersama ribuan calon PMR di seluruh negara mula menduduki peperiksaan PMR. Sudah habis daya guru-guru dan pihak sekolah memberi segala bantuan yang termampu bagi menyiapkan pelajar-pelajar di Tingkatan 3 untuk menduduki PMR ini. Peperiksaan berakhir pada 11 Oktober. Semua warga sekolah ini berharap semua calon dapat menjawab soalan dengan betul. Harap-harap anda semua berjaya dalam peperiksaan tersebut.