Assalamualaikum dan salam sejahtera............Selamat datang ke Blog SMK Tan Sri Osman Mohd Sa'at............Azam Ilmu Amal............Jadikanlah hari ini lebih baik daripada semalam

Saturday, October 30, 2010

KEMENTERIAN PELAJARAN PANTAU PELAJAR JUAL KOMPUTER

Kementerian Pelajaran akan membuat pemantauan berhubung dakwaan terdapat pelajar menjual komputer riba di bawah program Komputer 1Malaysia yang diberikan secara percuma oleh kerajaan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau, yang juga Menteri Pelajaran, bagaimanapun berkata pihaknya belum mendapat maklumat mengenai kesahihan dakwaan tersebut.


"Sebab itu, di peringkat kementerian kita hendak memantau atau merekodkan pemberian itu...dan ia bukan sahaja digunakan di rumah tetapi turut dibawa ke sekolah,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pelaksanaan Jalur Lebar, di sini, hari ini.

Komputer itu diberikan kepada kumpulan sasar yang terdiri daripada isi rumah berpendapatan bawah RM3,000 bagi kawasan luar bandar dan bawah RM5,000 bagi kawasan bandar berdasarkan nisbah yang ditetapkan.

Muhyiddin berkata, beliau tidak pasti sama ada disebabkan faktor tidak mampu melanggan perkhidmatan jalur lebar telah membuatkan mereka terpaksa menjual komputer riba tersebut. Oleh itu, guru sekolah boleh menyemak sejauh mana pelajar terbabit masih menyimpan komputer riba yang diberikan.

Saturday, October 23, 2010

KEMENTERIAN BELUM TERIMA MAKLUMAT UMMU JAH



PONTIAN 24 Julai - Kementerian Pelajaran belum menerima maklumat mengenai dakwaan 10,000 kanak-kanak tidak bersekolah kerana menjalani kehidupan bersama ajaran 'Ummu Jah' yang dibawa oleh Hatijah Aam, 56, isteri kedua kepada bekas pemimpin Al-Arqam, Allahyarham Asaari Muhammad.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, pihaknya akan menyiasat dakwaan itu dan jika benar, tindakan akan diambil kerana kanak-kanak tersebut perlu mengikuti pendidikan pada tahap usia mereka.

Menurut beliau, pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang melahirkan kebimbangan itu sebelum tindakan susulan diambil.

"Mungkin di kalangan mereka bersekolah secara pondok tetapi sekiranya berlaku eksploitasi ke atas kanak-kanak yang menyebabkan mereka tidak dapat ke sekolah maka ia sesuatu yang serius.

"Ini termasuk menjadikan mereka penjual atau pengedar produk barangan seperti buku-buku, kitab, majalah, cenderamata dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan nama baru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tan Sri Osman Mohd. Sa'at di sini hari ini.

Sebelum ini, sekolah tersebut dikenali sebagai SMK Batu 34.

Turut hadir, Pengarah Pelajaran negeri, Sufaat Tumin dan Pegawai Pelajaran daerah, Ab. Rahim Lamin.

Semalam, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz menyatakan kebimbangan beliau terhadap nasib kira-kira 10,000 kanak-kanak tersebut hasil perkahwinan ahli-ahli keluarga Asaari dan para pengikut yang sebahagian besarnya mengamalkan poligami.

Menurut Wan Mohamad, pihaknya bimbang kerana anak-anak tersebut yang tidak bersekolah dan berada di luar arus perdana serta hidup dalam suasana cult (pendewaan).

Tambah Mohd. Puad, sekiranya mereka dieksploitasi pihak tertentu, ia penganiayaan terhadap kanak-kanak tersebut yang sepatutnya diberi peluang untuk belajar dan menimba ilmu.

"Selaras peraturan, setiap kanak-kanak di negara ini perlu diberi peluang mendapat pendidikan bermula dari peringkat prasekolah sehingga ke tahap tinggi mengikut keupayaan masing-masing," ujarnya.

Utusan Malaysia, 25 Julai 2010

NAMA TAN SRI OSMAN MOHD SA'AT MANTAN MENTERI BESAR JOHOR DIABADIKAN PADA NAMA SEKOLAH MENENGAH DI PONTIAN

Sumber: PKG Pekan Nanas


YAB Tan Sri Osman bin Mohd Sa'at salah seorang tokoh terbilang dan tidak asing lagi bagi anak watan negeri Johor. Beliau merupakan Menteri Besar Johor ke-10 dari tahun 1967 hingga 1982. Banyak jasa yang telah beliau curahkan untuk negeri bertuah ini. 

Atas sumbangan jasa beliau, nama beliau telah diabadikan bagi mengantikan nama SMK Batu 34, Pontian menjadi SMK TAN SRI OSMAN MOHD SA'AT. Pemasyhuran nama beliau telah disempurnakan oleh YB Dr. Haji Mohd Puad bin Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran II, Kementerian Pelajaran Malaysia pada 24 Julai 2010 yang lalu. Semoga dengan pertukaran nama ini akan meningkatkan lagi semangat, keazaman dan iltizam warga sekolah untuk mencapai tahap yang lebih baik di masa hadapan.

Friday, October 22, 2010

STANDARD GURU MALAYSIA

TIGA AMALAN NILAI

  • Profesionalisme keguruan
  • Pengetahuan serta kemahiran pengajaran
  • Pembelajaran yang tinggi.
Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan dokumen Standard Guru Malaysia (SGM) sebagai usaha berterusan untuk meletakkan sistem pendidikan negara setara dengan piawaian global dan melahirkan modal insan berminda kelas pertama.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, berkata berdasarkan dokumen berkenaan semua guru mesti memiliki tiga aspek amalan nilai, iaitu profesionalisme keguruan, pengetahuan serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang tinggi.

"Ketiga-tiga aspek ini adalah komponen penting yang mesti dicapai setiap guru," katanya pada sidang media selepas melancarkan SGM dan merasmikan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Tawau di Balung dekat sini.

Mengikut dokumen itu, amalan nilai profesionalisme keguruan meliputi tiga domain utama, iaitu diri, profesion dan sosial. Domain diri merujuk pegangan nilai diri guru sedia ada seperti amanah, ikhlas, adil, daya saing dan tahan yang tinggi, cekap dan patut dikembangkan agar mereka boleh memberi sumbangan lebih berkesan kepada profesion keguruan.

Profesion pula merujuk pegangan nilai yang patut diamalkan secara telus, seperti berketerampilan, integriti, kerja sepasukan dan proaktif, manakala domain sosial sebagai agen sosialisasi dan penjana modal insan dalam masyarakat merangkumi semangat bermasyarakat, patriotisme dan kecintaan terhadap alam sekitar.

Aspek kedua menuntut guru memiliki dan menguasai ilmu yang mantap agar dapat meningkatkan profesionalisme keguruan, melaksanakan tugas dengan cekap dan berkesan serta lebih kreatif dan inovatif.

Bidang pengetahuan yang patut dikuasai guru termasuk mewujudkan persekitaran pembelajaran kondusif, menambah baik amalan pengajaran dan pembelajaran serta mengembangkan potensi murid secara menyeluruh.

Aspek ketiga memfokuskan kebolehan guru membuat perancangan, pelaksanaan dan penilaian berhubung pengajaran dan pembelajaran akademik dan kokurikulum yang menuntut pelbagai kemahiran, termasuk mengurus bilik darjah yang membabitkan pengurusan hubungan kemanusiaan, masa, ruang, dan sumber untuk mencapai pembelajaran yang berkesan.

Muhyiddin berkata, pematuhan terhadap SGM berupaya memenuhi aspirasi kerajaan untuk melahirkan warga pendidik berkualiti dan bertaraf dunia.

"Kita mahu guru di negara ini setanding dengan piawaian global dari segi pencapaian dan penyampaian, terutama dalam keadaan masyarakat meletak harapan tinggi terhadap kemampuan kerajaan memperluaskan capaian pendidikan berkualiti.

"Justeru, sistem pendidikan kita perlu mempunyai mekanisme bagi menentukan guru yang dilahirkan benar-benar cekap dan memenuhi piawaian ditetapkan," katanya.

Sambil berharap garis panduan itu akan membolehkan warga pendidikan lebih fokus dari segi keupayaan, Timbalan Perdana Menteri berkata, keberkesanan SGM dapat diukur menerusi pencapaian pelajar dan prestasi sekolah secara keseluruhannya.

Mengenai kekangan seperti kekurangan infrastruktur, terutama di luar bandar dan pedalaman yang boleh menjejaskan pencapaian guru, beliau berkata:

"Peningkatan kemudahan asas di sekolah luar bandar dan pedalaman akan dilakukan secara berterusan, selain menjadi antara keutamaan dalam Rancangan Malaysia ke-10. Kerajaan mahu merapatkan jurang prestasi dan penyediaan infrastruktur antara sekolah bandar, luar bandar dan pedalaman supaya tidak wujud lagi perbezaan ketara.

"Tidak semestinya mereka berada di luar bandar, maka piawaian mereka rendah dan begitu juga sebaliknya. Justeru kita akan ubah keadaan ini secara berterusan mengikut keperluan," katanya.

Muhyiddin menegaskan, antara aspek yang akan diberi penekanan ialah menaik taraf sekolah di pedalaman dan meningkatkan kebajikan guru dari segi kediaman serta bantuan elaun.

PERKEMBANGAN KURIKULUM

Perkembangan Kurikulum

  • 1956 - General Syllabuses and Timetable Committee ditubuhkan
  • 1964 - General Syllabuses and Review Committee ditubuhkan
  • 1965 - Pendidikan Komprehensif dimulakan
  • 1967 - Report of the Committee on Curriculum Planning and Development
  • 1973 - Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) ditubuhkan
  • 1982 - KBSR dilaksanakan di 302 buah sekolah rendah sebagai percubaan
  • 1983 - KBSR dilaksanakan di semua sekolah rendah
  • 1988 - Pelaksanaan KBSR sepenuhnya dicapai
  • 1988 - Pelaksanaan KBSM bermula untuk mata pelajaran bahasa
  • 1989 - Pelaksanaan KBSM bermula untuk mata pelajaran lain
  • 1989 - Kemahiran Hidup Program Peralihan dimulakan di tingkatan 1
  • 1989 - Pelaksanaan PKBS di tahun 1 hingga tahun 6 di semua sekolah rendah
  • 1989 - Mata pelajaran Kemahiran Manipulatif dilancarkan di 100 buah sekolah rendah
  • 1991 - Mata pelajaran Kemahiran Manipulatif dilaksanakan di 1000 buah sekolah rendah
  • 1991 - Kemahiran Hidup bersepadu dimulakan di Tingkatan 1
  • 1992 - Mata pelajaran Kemahiran Hidup Manipulatif dilaksanakan di 3000 buah sekolah rendah
  • 1993 - Kemahiran Hidup mula dilaksanakan di Tahun 4 di semua sekolah rendah. Sekolah yang telah melaksanakan Kemahiran Manipulatifmeneruskannya di Tahun 5 dan 6 sekolah rendah

PERKEMBANGAN PEPERIKSAAN DI SEKOLAH MENENGAH

Perkembangan Peperiksaan Sekolah Menengah
  • 1957 - LCE (Lower Certificate of Education) dimulakan
  • 1957 - OSC (Overseas Cambridge Sch Certificate) dimulakan
  • 1957 - FMC ( Federation of Malaya Certificate) dimulakan
  • 1957 - QT ( Qualifying Test) dimulakan
  • 1960 - SRP (Sijil Rendah Pelajaran) dimulakan
  • 1961 - UK (Ujian Kelayakan) dimulakan
  • 1962 - SPPTM (Sijil Pel. Persekutuan Tanah Melayu) dimulakan
  • 964 - SPPTM dimansuhkan
  • 1964 - FMC dimansuhkan
  • 1964 - MCE (Malaysian Certificate of Education) dimulakan
  • 1964 - SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dimulakan
  • 1967 - SRP/LCE soalan objektif mula digunakan
  • 1968 - OSC dimansuhkan di Semenanjung Malaysia.
  • 1969 - SPVM (Sijil Pelajaran Vokasional Malaysia) dimulakan
  • 1976 - Peperiksaan Bahasa Melayu (Julai) dimulakan
  • 1976 - MCE diambilalih oleh Lembaga Peperiksaan
  • 1982 - HSC (Higher School Certificate Cambridge) dimansuhkan
  • 1982 - STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia) diambilalih oleh Majlis Peperiksaan Malaysia dimulakan
  • 1983 - LCE ujian Lisan Bahasa Melayu dimansuhkan
  • 1983 - SRP Ujian Lisan Bahasa Inggeris dimansuhkan
  • 1987 - Sijil SPVM ditukar kepada SPM(V)
  • 1987 - SPM di seluruh Malaysia dimulakan
  • 1991 - KHPP (Kemahiran Hidup Program Peralihan) SRP dimulakan
  • 1992 - Tahun terakhir bagi SRP
  • 1993 - PMR (Penilaian Menengah Rendah) dimulakan
  • 1993 - SPM berdasarkan KBSM (Kurikulum Baru Sek. Menengah) dimulakan

SEJARAH SMK TAN SRI OSMAN MOHD SAAT


Sekolah Menengah Kebangsaan Tan Sri Osman Mohd Saat memulakan sesi persekolahannya pada 1 Januari 2001. Sebelum itu sekolah ini dinamakan SMK Batu 34 kerana ia terletak di Batu 34 Jalan Johor Bahru-Pontian.

Pada permulaannya seramai 23 orang guru ditugaskan untuk mengajar dan mendidik seramai 355 orang murid di sekolah ini. Lama kelamaan jumlah murid bertambah. Pada tahun 2003 bilangan guru menjadi 39 orang manakala bilangan murid bertambah menjadi 693 orang. Jumlah kelas juga bertambah. Sekolah ini menawarkan pembelajaran dari Tingkatan Peralihan hingga Tingkatan 5.

TRANSFORMASI SMK BATU 34

TAHNIAH buat SMK BT 34 kerana mempunyai nama sekolah yg baru. Yang pasti, nama yang  dipilih adalah lebih gah dan eligen. Harap-harap akan berlaku transformasi kepada semua warga SMK BT 34 seiring dengn nama baru sekolah.....

Selamat tinggal Sekolah Menengah Kebangsaan Batu 34 dan selamat datang Sekolah Menengah Kebangsaan Tan Sri Osman Mohd Sa'at.

BLOG SMK TAN SRI OSMAN MOHD SAAT

Selamat datang melayari blog SMK Tan Sri Mohd Saat.